Wednesday, April 6, 2011

Speech from Dr Danial to JIM Timur Laur from 2000

A short speech delivered by Dr Danial from the year 2000, but timeless and relevant in its message. Within that space of time, Dr Danial is now a public figure and widely respected, as he should be and me? I need to look at myself in the mirror.

 

Assalamualaikum.

 

Saya bersyukur kerana JIM Timur Laut telah melaksanakan janjinya untuk memberikan fokus kepada tarbiyah, pendidikan, IPT dan dakwah kepada yang belum Islam. Di bidang dakwah kepada yang belum Islam saya amat menekankan tentang konsep sinergi dengan IPCI dan ABIM-Outreach. Usahasama dengan sahabat-sahabat kita ini, saya yakin, akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik demi masa depan ummah dan dakwah.

 

TUGAS MULIA UNTUK INSAN MULIA

 

Dakwah dalam konteks mengajak kepada makruf dan nahi mungkar adalah suatu tugas yang amat mulia. Tugas yang mulia hanya akan dipikul oleh mereka yang mulia. Justeru itu ianya diamanahkan kepada semua insan-insan pilihan yang bergelar Rasul. Kita adalah waris kepada Rasul-Rasul dan jika kita merupakan insan-insan yang mulia, kita juga akan melaksanakan tugas mulia yang bernama dakwah islamiah ini. Kita tidak akan menjadikan kerjaya kita, ‘overtime’ kita, rumah besar, kereta besar, pangkat besar dan gaji besar kita sebagai alasan untuk meninggalkan dakwah. Saya yakin kita masih ingat tentang dialog yang berlaku di antara Zainab binti Jahsy dengan Rasulullah, di mana Zainab r.a. telah bertanya kepada Nabi: “Adakah kita akan dihancurkan sedangkan masih ada orang-orang yang solih bersama-sama kita?” Nabi menjawab: “Ya, bila kemungkaran berleluasa!” Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim. Jelas sekali, bila kita meninggalkan dakwah, Allah dan bantuanNya akan meninggalkan kita.

 

ILMU ADALAH ASAS

 

Dalam hidup dan perjuangan, ilmu adalah penting untuk dikuasai kerana tanpanya kita akan terbabas. Kesungguhan untuk mencari ilmu melambangkan juga keseriusan kita untuk mengabdikan diri kepada Allah secara yang berkualiti. Nabi Adam sebelum dilantik sebagai Khalifah di muka bumi, telah dibekalkan Allah dengan ilmu-ilmu yang mantap seperti yang disebutkan di dalam surah Al-Baqarah pada ayat 31. Ada sesetengah kita yang begitu mengkagumi tulisan-tulisan Steven R. Covey, Peter Drucker, Napoleon Hill, Anthony Robins, Denis Waitley, B. Eugene Griessman dan lain-lainnya. Tidak ada salahnya untuk kita membaca karya-karya mereka dan memanfaatkan isi-isinya, namun kita perlu ingat bahawa karya yang paling utama untuk kita fahami dan dalami ialah Al-Quran, As-Sunnah dan buku-buku teras yang memperincikan tentang Quran dan Sunnah. Saya berharap kita tidak merasakan bahawa kita benar-benar sudah memahami dan mendalami Quran, Sunnah dan karya-karya agung ulama-ulama silam sehingga kita tidak memerlukannya lagi pada hari ini, kerana sikap yang seperti itu akan membinasakan kta sendiri. Jangan kita lupa bahawa kita adalah golongan ‘Fundamentalist yet Contemporary’ dan untuk menjadi ‘fundamentalists’ kita perlu memahami secara mendalam Al-Quran dan As-Sunnah dan selepas itu barulah kita manfaatkan bahan-bahan dan teknologi yang berbentuk kontemporari.

 

KELUNTURAN

 

Kelunturan akan menyerang kita bila dunia menguasai hati kita. Ketika itu perbuatan yang haram menjadi mudah untuk kita lakukan, ibadah akan dilakukan secara tergesa-gesa dan kita amat membenci teguran dan nasihat yang berdasarkan agama. Saya hendak mengingatkan kita tentang pergaulan di antara lelaki dan wanita, agar kita tidak terlampau kendur tentangnya. Saya tidak bermaksud untuk kita sentiasa memasang tirai di dalam majlis-majlis yang kita adakan, tetapi saya mahu batas-batas syariat tentangnya dipatuhi. Begitu juga dengan batas-batas aurat di dalam pemakaian wanita-wanita JIM. Kelunturan dalam beramal boleh tertonjol di dalam bentuk pemakaian. Hendaknya janganlah kita lupa bahawa kita adalah pendakwah dan sepatutnya kita menjadi contoh yang baik bagi orang lain. Seorang pendakwah yang baik ialah dia yang memulakan dakwah dengan dirinya terlebih dahulu. Terima kasih.

 

Dr. Danial Zainal Abidin,

YDP JIM Pulau Pinang.

 

 

 

No comments:

Post a Comment